KONSEP DAN PRINSIP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

  Setiap yang hidup mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan adalah perubahan yang bersifat kuantitatif iaitu sifat perubahan yang dapat di ukur sama ada mengikut peringkat dan ketentuan masa. Apabila ia bersifat kuantitatif, setiap perubahan seseorang dapat dilihat dengan nyata berdasarkan pengukuran yang dibuat ke atas seseorang ataupun sesuatu organisma. Pertumbuhan yang biasa, kecuali yang disebabkan oleh kanser, selalunya berhenti manakala sesuatu organisma itu sampai ke peringkat matang atau dewasa dan selepas itu pertumbuhan tidak lagi berlaku.
  Perkembangan pula adalah perubahan yang bersifat kualitatif iaitu perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantiti tetapi ternyata perubahan sudah berlaku yang menunjukkan sifat berlainan daripada peringkat yang terdahulu. Berlainan dengan hal pertumbuhan, perkembangan berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sehingga tamatnya hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma.  

  Proses pertumbuhan dan perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak.


PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

Arah
Perkembangan mempunyai arah baik sewaktu peringkat belum lahir mahupun pada peringkat sudah lahir. Arah-arah itu seperti:
1. Arah kepala ke kaki (cephalocaudal).
2. Arah tengah ke tepi (proximodistal).
Mengikut arah kepala ke kaki, perkembangan bermula dari kepala dan bergerak ke arah kaki. Ini bermakna, perubahan awal pada struktur dan juga fungsi berlaku di bahagian kepala kemudian di bahagian badan dan akhir sekali di bahagian kaki. Kepala kanak-kanak kecil biasanya berat kerana perkembangan sudah banyak berlaku di bahagian kepala dibandingkan dengan bahagian lain misalnya bahagian kaki. Itu sebabnya apabila kanak-kanak ditiarapkan, dia hanya dapat mengangkat dadanya apabila ia dapat mengangkat kepalanya.
Mengikut arah tengah ke tepi pula, perkembangan ini berlaku dari arah tengah badan menghala ke bahagian luar badan dan ke hujung anggota. Sewaktu di dalam kandungan, iaitu ketika bahagian kepala dan badan sudah dikatakan cukup terbentuk, bahagian anggota kaki dan tangan hanya merupakan puntung-puntung yang belum tumbuh. Secara beransur-ansur, puntung tangan ini akan memanjang dan berkembang menjadi tangan dan jari. Daripada segi fungsi, bayi yang dikandungi menggunakan lengan terlebih dahulu sebelum dapat menggunakan tangan dan jari.


Susun atur tersendiri
Corak perkembangan bayi adalah sama daripada satu peringkat ke peringkat yang lain. Sebelum berjalan, lazimnya seorang kanak-kanak berdiri terlebih dahulu. Corak yang lazim ini tidak akan berubah, jika seseorang kanak-kanak yang dilahirkan awal, dia mungkin terlambat dalam beberapa aspek perkembangan, tetapi dapat sampai ke peringkat kanak-kanak lain seperti yang sepatutnya.

Menyeluruh
Pada peringkat awal kehidupan, seseorang bayi hanya dapat memberi gerak balas secara menyeluruh ke atas sesuatu rangsangan kerana tulang dan otot masih belum matang. Umpamanya, jika seseorang bayi cuba mengambil sesuatu benda, hampir seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangannya kerana jarinya masih belum dapat digunakan. Selepas besar, pergerakan bagi mengambil sesuatu benda hanya memerlukan jari sahaja tanpa menggerakkan sebahagian besar badannya. Emosi kanak-kanak juga berlaku secara menyeluruh. Misalnya pada peringkat awal, ketakutan kanak-kanak ditunjukkan secara menyeluruh. Kemudian ketakutannya hanya kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Ternyata perkembangan itu berlaku mengikut proses pembezaan. Selepas proses pembezaan mencapai sesuatu peringkat ketentuan, proses penyatuan pula berlaku. Umpamanya, beberapa kemahiran yang terdapat pada terdapat pada seseorang adalah pemilihan dan gabungan beberapa tingkah laku yang menjadi penggabungan baru.

Berterusan
Perkembangan diri seseorang berlaku secara berterusan. Ia bermula daripada percambahan sehingga akhir hayat. Perkembangan ini berlaku pada kelambatan atau kecepatan yang berbeza-beza. Disebabkan perkembangan itu berterusan, apa yang berlaku pada satu peringkat mempengaruhi peringkat yang lain. Umpamanya, rumah tangga yang tegang pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak mempengaruhi sahsiah kanak-kanak seterusnya. Tanggapan negatif kepada ibu bapa yang kerap bertengkar sukar dihapuskan. Perkembangan dan pertumbuhan jasmani pada peringkat awal terutamanya pada peringkat kehamilan dapat menentukan sifat kanak-kanak sewaktu dewasa nanti. Sekiranya berlaku kecatatan kecil pada peringkat awal kehamilan, kecatatan ini membesar selepas ia dewasa nanti.

Kecepatan
Kecepatan dalam proses perkembangan tidak pernah sama. Anggota yang berlainan mempunyai kecepatan yang berlainan. Kanak-kanak yang tinggi kecerdasannya tetapi masih belum matang selalunya mempunyai perkembangan kecerdasan yang mendahului peringkat kematangan jasmani, kemasyarakatan dan emosi. Mereka selalunya susah menyesuaikan diri dengan kanak-kanak yang sebaya dan juga kanak-kanak yang lebih tua.

Berkaitan dan mempengaruhi.
Perkembangan dan pertumbuhan satu-satu anggota adalah berkaitan dan mempengaruhi perubahan keseluruhan anggota lain. Pertalian ternyata didapati di antara kematangan jasmani dengan kematangan mental. Kesan daripada keadaan ini, kanak-kanak yang cepat matang berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebaya tetapi lambat matang. Perbezaan ini bukan sahaja terdapat pada keadaan jasmani mereka tetapi juga daripada segi mental dan tingkah laku. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa perkembangan itu adalah proses yang bersepadu melibatkan penyesuaian keseluruhan badan.

Berbeza
Setiap individu mempunyai corak perkembangannya yang tersendiri. Justeru, tidak semua kanak-kanak sampai kepada titik perkembangan yang sama pada peringkat umur yang sama. Frank (1950) mengatakan bahawa perkembangan hidup seseorang bergantung kepada pewarisan dan alam sekeliling yang amat unik. Walaupun kecepatan perkembangan mungkin berbeza-beza bagi kanak-kanak, perkembangan ini adalah kekal. Kanak-kanak yang berbadan tinggi pada satu peringkat umur akan berbadan tinggi juga pada peringkat-peringkat umur yang lain, sedangkan yang berbadan rendah akan rendah juga kemudiannya. Lingkungan umur akal bagi kanak-kanak cerdas, sederhana dan lembap juga menunjukkan kekekalan sebagaimana sifat jasmani tadi. Perkembangan mental yang cepat akan berterusan cepatnya sedangkan kanak-kanak yang cacat otaknya tertinggal semakin jauh apabila dia semakin membesar. Kemajuan perkembangan kanak-kanak akan berkeadaan kakal dan ia bergerak maju atau berkembang mengikut kecepatan yang dimulakannya. Oleh sebab tiap-tiap kanak-kanak mempunyai sifat kecepatan perkembangannya tersendiri, maka tidak boleh diharapkan semua kanak-kanak itu mempunyai peringkat umur yang sama.

Berperingkat-peringkat
Hidup manusia berperingkat-peringkat. Setiap peringkat dapat dibezakan melalui sifat yang nyata bagi peringkat itu. Sifat tertentu bagi sesuatu peringkat itu memberikan sifat keutuhan dan sufat yang unik. Walaupun terdapat peringkat-peringkat ini, tetapi garis-garis pembahagian tidak nyata bagi memisahkan di antara satu di antara satu dengan yang lain. Terdapat tujuh peringkat perkembangan yang ketara iaitu:


Peringkat
Peringkat 1
Peringkat sebelum lahir sehingga bayi dilahirkan. 280 hari dalam kandungan.
Peringkat 2
Peringkat bayi merah iaitu daripada masa lahir sehingga kira-kira 10 ataupun 14 hari kemudian.
Peringkat 3
Peringkat bayi daripada umur 2 minggu sehingga kira-kira 2 tahun.
Peringkat 4
Peringkat kanak-kanak iaitu antara umur 2 tahun sehingga akil baligh.
Peringkat 5
Peringkat remaja iaitu daripada akil baligh sehingga peringkat dewasa iaitu kira-kira berumur 25 tahun.
Peringkat 6
Peringkat dewasa.
Peringkat 7
Peringkat tua.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN
4.1 Faktor Kebakaan (Genetik)
Menurut Norman L. Munn, baka merupakan ciri-ciri yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen-gen.
Ernest R. Hilgard pula mengatakan bahawa baka ialah ciri-ciri biologi yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen-gen.
W.E. Vinacke pula menyifatkan baka sebagai penentu struktur-struktur organ, arah sistem biologi yang akan berkembang serta potensi-potensi seseoarang individu.
Amram Schienfeld pula menyatakan bahawa baka itu menentukan persamaan-persamaan di antara ibu bapa dengan anak-anaknya dan di kalangan ahli-ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi trait-trait seperti kebolehan, minat dan kawalan emosi.
Menurut J.A Thomson, baka itu merujuk kepada perhubungan genetik di antara generasi manusia.
Baka adalah ciri-ciri yang diperturunkan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Oleh itu, ahli-ahli keluarga biasanya mempunyai sifat-sifat yang sama seperti warna mata dan kulit, warna rambut, bentuk muka dan telinga, kecerdasan dan penyakit seperti diabetes.
Walau bagaimanapun, pernah juga terdapat perbezaan sifat di antara anak dengan ibu bapa. Tahukah anda mengapa keadaan seperti ini boleh berlaku? Sifat-sifat yang berbeza itu mungkin berasal daripada nenek moyang. Ini adalah kerana gen yang menentukan sifat-sifat yang berbeza itu mungkin telah lama terpendam. Gen ini pula akan muncul semula apabila keadaan sesuai. Ketika gen itu berpasangan dengan pasangannya, gen itu muncul lebih kuat lalu menyebabkan berkembangnya sifat yang berbeza itu.
Pengaruh baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan adalah jelas dilihat daripada ciri-ciri berikut:

  Ciri-ciri fizikal. Warna kulit seseorang individu sama ada hitam, putih atau coklat adalah diwarisi daripada ibu bapa atau datu nenek. Begitu juga dengan warna dan bentuk mata, sama ada mata itu biru atau hitam, berbentuk kecil, bulat atau sepet adalah ditentukan oleh gen yang diwarisi daripada ibu bapa. Warna rambut, sama ada hitam, perang atau lurus adalah juga dipengaruhi oleh gen. Jenis darah sama ada A positif, O, AB atau B juga bergantung kepada gen. Saiz tubuh badan seseorang kanak-kanak juga dipengaruhi oleh baka. Kanak-kanak daripada ibu bapa yang tinggi dan berbadan besar biasanya lebih berat dan tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain.
 Ciri Fisiologi

Adalah didapati bahawa kanak-kanak daripada ibu bapa yang sihat juga merupakan individu-individu yang sihat. Ini bermakna sesetengah penyakit seperti diabetes, hemofilia dan kekerdilan adalah disebabkan oleh pengaruh baka.
 Kecacatan mental. 

Rencatan mentaladalah disebabkan oleh pewarisan gen yang resesif daripada kedua-dua ibu dan bapa yang mempunyai tali persaudaraan yang rapat. Penyakit fenilketonuria atau PKU juga disebabkan oleh faktor baka. Penyakit ini menyebabkan kekurangan enzim yang perlu untuk menyingkirkan fenilalanina, iaitu asid amino yang beracun yang terdapat banyak dalam makanan. Oleh itu, bayi yang mengalami PKU akan memiliki asid beracun yang kan merosakkan keadaan mentalnya. Pengaruh baka ke atas kecerdasan telah pun dikaji. Kecerdasan tinggi atau rendah seseorang individu biasanya ditentukan oleh baka yang diwarisi daripada ibu bapanya. Kedua-dua faktor baka dan persekitaran adalah penting dalam menentukan kecerdasan seseorang individu tetapi kajian-kajian menunjukkan bahawa nisbah pengaruh baka ialah 51 peratus dan persekitaran 41 peratus.
 Sahsiah

Walaupun sahsiah seseorang individu banyak dipengaruhi oleh persekitaran, baka juga memainkan peranan yang penting. Contohnya, perangai dan sifat introvert atau ekstrovert adalah dipengaruhi oleh faktor baka. Seseorang yang cepat marah atau selalu berasa bimbang banyak dipengaruhi oleh faktor baka.
 Kecerdasan. 

 Faktor baka banyak memainkan peranan dalam menentukan kecerdasan seseorang individu. Ini bermakna ibu bapa yang tinggi kecerdasannya kemungkinan besar akan melahirkan anak-anak yang juga tinggi keupayaan mentalnya. Walau bagaimanapun, faktor persekitaran juga memainkan peranan yang penting kerana alam sekitar yang kaya dengan kemudahan-kemudahan akademik akan merangsang perkembangan mental kanak-kanak.

4.2 Faktor Persekitaran.
Menurut Amram Schienfeld, persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula dari peringkat persenyawaan.
Norman L. Munn pula mentakrifkan persekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan.
W. Edgar Vinacke menerangkan bahawa persekitaran ialah kuasa ekstrinsik yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.
Pengertian-pengertian di atas menunjukkan dengan jelas bahawa persekitaran merujuk kepada alam sekitar seseorang individu sama ada di peringkat pralahir atau selepas lahir.

Terdapat dua kategori faktor persekitaran, iaitu faktor pralahir dan faktor selepas lahir.
Faktor Pralahir
Di antara faktor-faktor pralahir yang penting adalah seperti berikut:
· Pemakanan. Makanan yang seimbang adalah penting bagi menjamin pertumbuhan dan perkembangan seseorang bayi yang sihat dan kuat. Ini bermakna bayi tidak mudah diserang penyakit.

· Kesihatan Ibu. Seorang ibu yang sihat akan melahirkan bayi yang sihat. Sebaliknya, ibu yang menghidapi penyakit akan meyebabkan kecacatan seseorang bayi seperti kecacatan mental, pekak, bisu atau buta.

· Penyalahgunaan Dadah. Amalan menyalahgunakan dadah oleh ibu lazimnya akan membahayakan perkembangan biasa seseorang bayi. Contohnya seorang bayi Thalidomide yang dilahirkan cacat adalah disebabkan penyalahgunaan dadah Thalidomide.

· Kesan X-Ray. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa pendedahan seseorang ibu kepada X-Ray yang berlebihan akan menyebabkan bayi yang dilahirkannya cacat sama ada dari segi jasmani atau mental.

· Emosi Ibu. Seseorang ibu yang sentiasa ketakutan, bimbang atau tertekan kemungkinan melahirkan bayi yang kurang sihat.

· Umur Ibu. Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa seseorang ibu yang sudah lanjut usia berkemungkinan besar melhirkan bayi yang mengalami kecacatan mental atau mempunyai darjah kecerdasan yang rendah.

Faktor Selepas Lahir
Di antara faktor-faktor selepas lahir yang penting adalah seperti berikut:
· Pemakanan. Makanan seseorang bayi perlu dijaga sejak peringkat awal lagi. Susu ibu amat baik bagi seseorang bayi. Seterusnya bagi menjamin perkembangan jasmani dan mental yang sihat, makanan yang berzat dan seimbang adalah diperlukan. Makanan bukan sahaja membantu pertumbuhan dan pekembangan seseorang individu, malahan ia juga dapat melindungi seseorang individu dari pelbagai penyakit.

· Keluarga. Keluarga mempunyai hubungan yang rapat dengan seseorang individu. Ibu bapa bukan sahaja terikat oleh pertalian darah dengan seseorang individu tetapi ia juga mempunyai pertalian sosial dan emosi. Sejak lahir, kanak-kanak dilindungi, diasuh dan dididik oleh kedua-dua ibu bapanya. Saiz sesebuah keluarga boleh mempengaruhi pembentukan sahsiah seorang kanak-kanak. Contohnya, seorang kanak-kanak dari keluarga yang kecil biasanya akan mendapat layanan dan perhatian yag sempurna daripada ibu bapanya. Kemungkinan segala yang diminta oleh kanak-kanak itu akan diberi oleh ibu bapanya. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak bersikap angkuh dan terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Sikap kepimpinan yang ditonjolkan oleh ibu bapa akan mempengaruhi sikap anak-anak mereka. Ibu atau bapa yang autokratik sentiasa tidak membenarkan anak-anak mereka mengemukakan pendapata atau cadangan. Ini akan menyebabkan anak-anak itu menjadi pasif, takut dan menarik diri. Anak-anak seperti ini akan menjadi individu-individu yang kurang berkeyakinan dan amat bergantung kepada orang lain untuk membuat keputusan. Sebaliknya ibu bapa yang mengamalkan prinsip demokrasi akan mengasuh anak-anak belajar untuk menerima dan memberi, bertolak ansur, berbincang dan mematuhi pendapat majoriti dalam satu-satu tindakan embuat keputusan.

· Rakan Sebaya. Rakan sebaya merupakan sekumpulan individu yang mempunyai tingkat umur yan sama atau lebih kurang sama dengan individu yang berkenaan. Biasanya, rakan sebaya mempunyai cita-cita, minat dan tahap kecerdasan yang lebih kurang sama. Kumpulan ini terbentuk kerana manusia adalah mahkluk sosial yang aktif. Pengaruh rakan sebaya adalah dari pelbagai aspek iaitu dari segi afektif, sosial, kognitif dan psikomotor.
  

Sekolah. Kedudukan sesebuah sekolah, sama ada di luar bandar atau di bandar boleh mempengaruhi perkembangan mental, sosial dan jasmani seseorang. Kekurangan kemudahan di sekolah-sekolh luar bandar akan menjejaskan perkembangan seseorang individu dari pelbagai aspek. Saiz sesebuah sekolah juga mendatangkan kesan yang berlainan. Kemesraan serta kejeleketan di antara pelajar-pelajar adalah kurang berbanding dengan sesebuah sekolah yang kecil yang mana pelajar-pelajarnya dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan lebih kerap. Pembelajaran pelajar-pelajar juga dipengaruhi oleh sekolah yang mereka hadiri. Sekolah yang hanya menekankan hal-hal akademik akan menghasilkan individu yang kurang berminat dalam permainan atau sukan.
  Tempat Tinggal. Tempat tinggal sseorang individu akan mempengaruhi perkembangannya. Contohnya, di kawasan bandar, penduduk-penduduk adalah kurang mesra di antara satu sama lain berbanding dengan penduduk-penduduk di luar bandar. Nilai-nilai seperti tolong-menolong, bertimbang rasa, kemesraan dan sebagainya adalah kurang ketara di kalangan penduduk di bandar. Penduduk-penduduk di bandar adalah bersifat lebih materialistik berbanding dengan penduduk-penduduk di luar bandar. Dengan itu, kanak-kanak akan membesar menjadi individu-individu yang juga selalu mengharapkan bayaran atau ganjaran bagi sesuatu tugasan. 

 Sebaran Am. Semua jenis sebaran am seperti radio, televisyen, akhbar, majalah, buku, wayang gambar akan mempengaruhi perkembangan mental, pandangan dan sikap seseorang terhadap isu-isu ekonomi, sosial dan politik. Sebagai contoh, progarm TV Pendidikan seperti Along Bijak banyak membantu kanak-kanak mempelajari konsep-konsep nombor, abjad, bahasa dan matematik.
  Pusat Ibadat. Pusat-pusat ibadat seperti masjid, gereja dan kuil yang terdapat di satu-satu tempat juga mempengaruhi falsafah hidup dan gaya hidup seseorang individu. Pusat-pusat tersebut juga akan membentuk individu-individu yang menghayati nilai-nilai murni seperti seperti belas kasihan, kesyukuran, suka menolong orang lain, amanah, bertimbang rasa dan bertoleransi.
  Persekitaran Dunia. Ahli-ahli politikdan pemimpin-pemimpin, ekonomi, sosial dan bidang-bidang lain di seluruh dunia boleh mempengaruhi penduduk di satu-satu tempat iaitu dari segi idea, budaya, ekonomi, politik dan ideologi. Pandangan atau falsafah hidup penduduk berkenaan juga turut dipengaruhi.

Urie Bronfenbrenner seorang ahli psikologi Amerika menjelaskan perkembangan kanak-kanak sebagai hasil interaksi di antara alam persekitaran dengan kanak-kanak tersebut. Beliau mengetengahkan model ekologi berbentuk lapisan bulatan (Sistem Ekologi Bronfenbrenner ) yang masing-masing mempunyai pengaruh dan tahap tertentu. Terdapat empat tahap dalam perkembangan ini iaitu:

  Mikrosistem. Kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang berbentuk pada apa yang ada di depan mata termasuklah pengaruh objek-objek fizikal seperti patung dan teknologi, struktur persekitaran, serta peranan dan persekitaran ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa dan adik beradik.
  Mesosistem. Merangkumi hubungan kanak-kanak dengan persekitaran yang lebih luas dan bagaimana persekitaran ini mempengaruhi kanak-kanak. Contohnya, bagaimana kanak-kanak bergaul di sekolah lebih-lebih lagi apabila mahu memulakan alam persekolahan dan pertama kalinya berpisah dengan keluarga.
  Eksosistem. Menghubungkaitkan kanak-kanak dengan persekitaran yang mungkin kurang berkaitan dalam hidup mereka. Melihat bagaimana kanak-kanak didedahkan dengan jiran tetangga, tempat kerja ibu bapa, rakan-rakan ibu bapa dan institusi sosial lain.
  Makrosistem. Makrosistem adalah lapisan paling luar yang menyentuh pengaruh hubungan kanak-kanak dengan persekitaran yang jauh lebih besar. Hubungan ini termasuklah sistem nilai sosial, perubahan sejarah, polisi sosial dan media massa.
Menurut Bronfenbrenner, teori yang dikemukakan oleh beliau bersandarkan tanggapan bahawa faktor persekitaran tidak sepenuhnya memainkan peranan kepada perkembangan kanak-kanak tetapi antara keduanya saling berkait rapat. Kanak-kanak tidak lari daripada berhadapan dengan persekitaran sosial mereka setiap hari yang mana ini secara tidak langsung dapat mempengaruhi perkembangan mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KESELAMATAN UNTUK KANAK-KANAK

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KELEBIHAN BAHAN BANTU MENGAJAR