PERANAN IBU BAPA DALAM PEBENTUKKAN TINGKAH LAKU KANAK-KANAK

Pembentukan anak yang baik terletak di bahu dan menjadi tanggungjawab bagi setiap ibu bapa. Kejayaan ibu bapa mendidik dan membentuk anak yang berbudi pekerti sebenarnya banyak bergantung kepada ciri-ciri yang dimiliki oleh ibu bapa. Sikap keibubapaan amat mempengaruhi pengalaman dan perkembangan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak. Anak yang berperibadi baik terbentuk melalui proses sosialisasi iaitu mereka mempelajari budaya ibu bapa dan keluarganya. Menurut Jayaletchumi et al. (2002), anak-anak akan diterapkan dengan nilai, norma, status dan peranan yang wujud dalam sesebuah keluarga.
Dari perspektif Islam, keibubapaan dilihat sebagai penetapan status atau nasab yang wujud diantara ibu bapa dengan anak yang mana merangkumi aspek menunaikan hak dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Peranan gaya keibubapaan yang dipertanggungjawabkan oleh ibu bapa amat penting sekali untuk membentuk anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan mengelakkan daripada berlakunya sebarang perbuatan devian. Selain itu, anak-anak juga perlu diberikan kepercayaan iaitu dengn memberikan autonomi kepada mereka dalam membuat keputusan terutamanya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan diri dan masa depan mereka.  Menurut Nooraini dan Salasilah (2013), usaha untuk menghasilkan insan yang berkualiti sangat berkait rapat dengan cara didikan yang diterima. Pendidikan adalah bertujuan untuk membangunkan modal insan kerana ia juga berkait dengan usaha membina dan mendisiplinkan diri dari segi pemikiran, kerohanian , emosi dan fizikal.
Sistem pendidikan negara seharusnya menyediakan asas yang kukuh tentang ilmu keibubapaan kerana keluarga merupakan unit masyarakat yang menyumbang terhadap proses pembangunan negara (Sidek Baba, 2007). Ini bagi memastikan kesinambungan di antara proses pembentukan insan yang seimbang yang bermula dari rumah dan di sekolah. Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan peranan sebaik mungkin bagi memastikan masa depan dan perkembangan anak-anak berkembang secara holistik.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KESELAMATAN UNTUK KANAK-KANAK

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KELEBIHAN BAHAN BANTU MENGAJAR