KELEBIHAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar menjadi salah satu pelengkap untuk membantu guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan bantu mengajar dilihat menjadi aspek penting dalam pembelajaran kerana bahan bantu mengajar yang penuh dengan kreativiti ini mampu membantu pelajar meningkatkan daya rangsangan ketika belajar. Pelbagai bahan yang boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar, bukan sahaja buku teks, gambar-gambar atau papan hitam malah terdapat banyak lagi bahan bantu mengajar sesuai dengan perkembangan semasa. Oleh itu, penggunaan bahan bantu mengajar mempunyai kebaikannya tersendiri bagi pelajar dan guru.
Kebaikan penggunaan bahan bantu mengajar ini dapat merangsang minda pelajar untuk belajar. Di sekolah penggunaan buku teks sebagai bahan bantu mengajar memang tidak asing lagi. Namun, sejauh manakah penggunaan buku teks ini mampu merangsang minda para pelajar. Hal ini kerana, di dalam buku teks terlalu banyak kandungan ayat sehingga boleh menimbulkan rasa bosan dalam diri pelajar. Sekiranya, guru mempelbagaikan bahan bantu mengajar mereka dengan mengedarkan bahan bacaan bergred yang menarik mampu memberikan kelainan buat pelajar. Bahan bantu mengajar penting untuk menarik minat pelajar dan menjadi instrument dalam membantu pemahaman pelajar. Bahan bantu mengajar dikatakan dapat merangsang minda para pelajar juga memberi sumbangan  yang besar dalam meningkatkan mutu pembelajaran. Secara tidak langsung, bahan bantu mengajar ini mampu membantu para guru untuk menyelesaikan kaedah pengajaran yang sentiasa berubah.
Kedua, bahan bantu mengajar dilihat dapat mencetuskan minat pelajar. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berbeza boleh menarik minat pelajar untuk belajar. Hal ini kerana, peralatan yang digunakan dapat menjadi penggalak dalam penyampaian pelajaran. Sebagai contoh, seorang guru yang masuk ke kelas dengan membawa sebuah kotak atau kad-kad yang berwarna-warni jelas menimbulkan tanda tanya dalam diri pelajar. Secara tidak langsung, cara ini mencetuskan minat pelajar untuk belajar kerana keterujaan dengan bahan bantu mengajar yang dibawa oleh guru tersebut. Jika penggunaan bahan bantu mengajar dan penyampaian yang dibuat oleh guru adalah jelas dan teratur, adalah tidak mustahil untuk mencetuskan minat dalam diri pelajar untuk belajar meskipun berada di kelas yang lemah. Penggunaan bahan bantu yang sesuai jelas akan mendorong minat pelajar untuk melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan. 
Seterusnya, penggunaan bahan bantu ini dapat menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan. Kaedah pengajaran yang dibuat berbeza dengan kelas-kelas sebelumnya yang lebih kepada buku teks jelas dapat menghasilkan suatu suasana pembelajaran yang lebih efektif. Sebagai contoh, penggunaan bahan bantu mengajar berdasarkan multimedia amat digalakkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran abad ini. Bahan bantu mengajar berdasarkan multimedia membantu pelajar untuk mengingat sesuatu perkara apabila dipaparkan gambar yang mampu menarik perhatian mereka Hal ini dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, cepat dan berkesan.
Selain itu, bahan bantu mengajar bukan sahaja dapat menarik minat para pelajar malah dapat membantu mengetengahkan konsep. Pemilihan bahan bantu mengajar yang baik akan menjadi bahan bantu yang berkesan buat pelajar. Oleh itu, dengan adanya bahan bantu mengajar guru-guru dapat mengetengahkan konsep pembelajaran supaya lebih mudah diterimaa dan diaplikasikan oleh para pelajar sesuai kebolehupayaan para pelajar tersebut.
Suasana di dalam bilik darjah akan menjadi lebih hidup dengan adanya bahan bantu mengajar. Kebaikan bahan bantu mengajar ini akan menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam bilik darjah. Proses pembelajaran yang berlaku bukan sahaja berpusat pada guru malah juga berpusat kepada pelajar kerana setiap bahan bantu yang disediakan oleh guru mempunyai aktiviti dan tujuan yang tersendiri.
Oleh itu, adalah digalakkan penggunaan bahan bantu mengajar di dalam bilik darjah kerana menghasilkan manfaat buat diri pelajar dan guru. Bahan bantu ini haruslah direka sesuai dengan pengajaran yang dibuat supaya dapat berfungsi sebagai bahan bantu untuk meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KESELAMATAN UNTUK KANAK-KANAK

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN